Sunday, January 23, 2011

Ramadhan

KELEBIHAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi- 

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi- 

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi- 



Perkara yang tidak membatalkan puasa


1. Tidak membatalkan puasa orang yang mengorek telinga, hidung, memakai celak atau menitiskan ubat ke mata. [Sila rujuk: Mukhtasar Sahih al-Bukhari (4511). Tagliqlut Ta’liq (3/151-152). Lihat Fathul Bari (4/153). HR Bukhari (2/681).]

2. Tidak membatalkan puasa orang yang berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung ketika berwuduk. Namun dilarang juga dari berlebih-lebihan memasukkan air ke hidung bagi orang yang berpuasa. [HR Tirmidhi (3/146). Abu Daud (2/308). Ahmad (4/32). Ibnu Abi Syaibah (3/101). Ibnu Majah (407). Nasaii (87). Sanadnya Sahih.]

3. Tidak membatalkan puasa orang yang membasahkan badan, menjirus air ke atas kepala atau mandi, seperti dalam keadaan kepanasan. [HR Abu Daud dalam sunannya (2365). Ahmad dalam musnadnya (5/376,380,408,430). Sanadnya Sahih. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud (2/61). HR Bukhari (2/881). Mukhtasar Sahih Al-Bukhari (hlm 451).]

4. Tidak membatalkan puasa orang yang merasa makanan selagi tidak sampai ke tenggoroknya (tidak ditelan). [HR Bukhari (4/154). Ibnu Saibah (3/47). Baihaqi (4/261). Hadis Hasan. Tagliqut Ta’liq (3/151-152).]

5. Dibolehkan berbekam. [HR Bukhari (4/155). Fathul Bari.]

6. Dibolehkan bersiwak atau menggosok gigi pada bila-bila masa. [HR Bukhari (2/311). Muslim (252). Fathul Bari (4/158). Syarah Sunnah (6/298). Sahih Ibnu Khuzaimah (3/247)]

7. Dibolehkan berkeadaan junub (berhadas besar), sama ada kerana bersetubuh, haid atau nifas dan tidak mandi hadas sehinggalah masuk fajar. [Al-Baqarah (2:187). HR Bukhari (4/123). Muslim (1109).]

8. Dibolehkan bercium, bercumbu atau bemesra dengan isteri. Iaitu sekiranya ia mampu mengawal nafsunya dari terlanjur (bersetubuh) atau terkeluar air mani. [HR Bukhari (4/131). Muslim (1106). HR Ahmad dalam Musnad (2/185,221). Disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah as-Sahihah (4/138).]

9. Menitiskan ubat ke lubang telinga tidak membatalkan puasa sebagaimana salah satu pendapat dalam Mazhab as-Syafie dan dibolehkan juga oleh Ibn Hazm. [Al Muhalla (6/203=204).]

10. Menggunakan oksigen. Tidak membatalkan puasa sama ada puasa wajib atau puasa sunnah bagi seseorang yang menggunakan oksigen. Termasuklah penggunaan tabung oksigen untuk juruselam di dasar lautan. [Majmu’ Fatawa (15/272-273). Ibn Bazz. Majmu’ Fatawa (19/212-213). Ibn Uthaimin.]

11. Menggunakan alat bronkhodiator. Iaitu sebuah alat untuk tujuan rawatan bagi penghidap penyakit semput, asma atau sesak nafas. [Majmu’ Fatawa (15/265). Ibn Bazz. Majmu’ Fatawa (19/209-210 Ibn Uthaimin. Fatwa Islamiyah (2/131).]




No comments:

Post a Comment